Tuesday 3 May 2016

The Runaway Princess : Bab 12

Katalina

Lima hari sudah pun berlalu sejak Anna kembali ke tempat asalnya. Tiada sesiapa pun yang bertanya kepadanya tentang gadis asing itu walaupun dia perasan Luc acapkali memandang ke arahnya seperti ingin berbicara sesuatu. Namun, dia sekadar buat tidak tahu terhadap lelaki itu dan meneruskan aktivitinya iaitu berburu di hutan seperti biasa. Dia dan Luc sudah lama tidak berbual, mungkin mereka tidak dapat berbual seperti biasa lagi. 

Dia dan Luc pernah bercinta untuk beberapa ketika. Pada masa itu, dia merasakan Luc ialah dunianya dan mereka kerap menghabiskan masa bersama-sama. Namun untuk beberapa ketika, dia sedar yang dia tidak menyintai lelaki itu seperti yang dia sangka. Perasaannya berubah sama sekali dan hubungan itu semakin hambar. Dia pernah cuba menanam semula benih cinta itu, namun dia tidak berjaya. Dia tidak mahu menipu hatinya lagi. Keterujaannya bersama-sama Luc semakin hilang hari demi hari hinggalah pada satu hari dia memberanikan diri memberitahu lelaki itu bahawa dia tidak lagi mempunyai perasaan terhadapnya.

Luc patah hati juga pada mulanya, namun lelaki yang paling kacak di kampung itu memang senang tergoda. Dalam tempoh yang singkat, dia mempunyai cinta baru dan seperti sengaja menunjuk-nunjuk kemesraan mereka kepada Katalina. Tetapi Katalina sekadar tersenyum dan menganggap Luc bersikap sangat kebudak-budakan. Mungkin pada masa itu usia mereka masih terlalu muda untuk bercinta.

Awal pagi itu, Katalina menyandarkan tubuhnya di sebatang pokok dan matanya merenung ke arah tebing sungai di mana dia menghantar Anna pulang menaiki sampan milik Marwin. Hatinya tertanya-tanya adakah gadis itu berjaya pulang ke Archeon. Adakah dia selamat dari serangan lanun-lanun sungai ataupun tentera Grandolia. Baginya, tentera ataupun lanun tiada bezanya. Selagi mereka masih tidak dianggap penduduk Grandolia dan dianggap seperti pendatang, selagi itu dia tidak akan mengaku dan tunduk pada raja kerajaan itu. Dia pernah mendengar dari ayahnya tentang Raja Nathan suatu ketika dulu, ketika perang masih berleluasa namun, setelah beberapa lama, ayahnya tidak lagi berbicara tentang raja Grandolia itu. Ayahnya ialah seorang yang sangat berpengaruh dahulu di perkampungan itu, namun setelah perang tamat, ayahnya memilih untuk bersendiri di pondok kecil mereka, Di pondok itulah, dia, ayahnya dan Marcus berteduh.

Matanya tiba-tiba terpandang riak-riak air di gigi sungai, seolah-olah ada sampan sedang menghampiri tebing. Dia bercadang untuk menunggu Marwin berlabuh di situ untuk bertanyakan tentang Anna. Sudah agak lama Marwin tidak mengunjungi daerah mereka, membuatkan Katalina sedikit risau.

Air di tebing semakin bergelora dan dengan pantas Katalina tunduk ke tanah. Kali ini bukan sampan kecil Marwin yang berlabuh pastinya. Jantungnya berdegup kencang apabila melihat beberapa sampan yang lebih besar dan berpuluh-puluh orang lelaki berpakain tentera Grandolia berada dalam sampan-sampan itu. Mereka semakin menghampiri tebing sungai dan Katalina dapat melihat seorang lelaki menjerit seperti memberi arahan supaya sampan berlabuh di tebing. Seorang dari setiap sampan melompat keluar ke tebing dan menarik sampan ke tepi dan mengikat tali sampan di dahan pokok sementara yang lainnya melompat keluar dari sampan satu persatu.

Tanpa berfikir panjang, Katalina bingkas bangkit dari persembunyiannya dan memecut laju masuk ke dalam hutan menuju ke kampung. Dia perlu memberi amaran kepada semua penduduk kampung. Tempat mereka akan diserang. Puak Grey akan diserang!

Katalina menjerit sebaik memasuki kawasan kampung itu. Beberapa petani yang sedang menanam sayur berdiri tegak mendengar jeritannya.

"TENTERA GRANDOLIA ADA DI SINI! KITA PERLU TINGGALKAN TEMPAT NI!"

"Kenapa? Apa yang berlaku?"

"Kenapa tentera ada di sini? Kita tak menceroboh kawasan mereka."

Penduduk kampung masih terpinga-pinga kehairanan. Pada masa itu, Katalina hanya mahu pulang ke rumahnya, mengejutkan ayah dan adiknya yang mungkin masih sedang tidur dan menyelamatkan diri. Sebelum sempat dia memecut ke rumahnya, tangannya direntap oleh seseorang membuatkan dia berkalih.

"Apa yang berlaku?" Luc bertanya.

"Aku nampak tentera berlabuh di tebing sana. Mereka datang berkumpulan dan bersenjata dan aku tak rasa mereka datang untuk berdamai."

Wajah Luc segera berubah. Dia melepaskan tangan Katalina perlahan-lahan. "Kenapa tiba-tiba saja-"

"Aku tak tahu. Aku mahu pulang ke rumahku. Ayah dan Marcus masih di rumah. Lebih baik kau minta kawan-kawan kau beritahu semua orang. Kita kena lari selamatkan diri."

Namun Luc masih tidak berganjak.

"Luc?" Katalina memanggil.

"Kau nak kita lari? Lari dari tanah kita sendiri? Kalau mereka nak serang kita, biarkan!"

"Kau dah gila? Kita mana ada kekuatan dan senjata untuk mempertahankan diri. Kebanyakan penduduk kita dah tua dan kanak-kanak. Takkan kau nak mereka berperang?" Katalina menyoal.

"Kalau kau nak lari, kau larilah, pengecut!" Luc menengking lalu berpusing menghadap penduduk kampung yang telah mula berkumpul di situ. Dia memandang ke arah ayahnya selaku ketua puak di situ dan mula mengerahkan semua lelaki mengumpulkan senjata yang ada temasuk tombak, panah dan pisau.

Katalina tidak mahu tunggu lama, lalu berlari laju ke rumahnya yang terletak agak jauh dari kampung itu. Dia termengah-mengah membuka pintu melihat ayahnya sedang duduk di kerusi di ruang hadapan.

"Kenapa?" Ayahnya bertanya.

"Tentera Grandolia datang ke sini."

Ayahnya pantas bangkit dengan wajah yang pucat. "Panggil adikmu. Kita perlu bersembunyi."

Katalina masuk ke bilik dan mengejutkan Marcus yang masih berselimut hingga ke kepala. Dia bangun lalu mengesat-ngesat matanya masih dalam mengantuk. "Cepat bangun, ambil barang yang senang bawa. Kita perlu keluar dari rumah ni." Katalina memberi arahan sambil tangannya pantas mencapai barang berharga yang disimpan di bawah tilam. Marcus tidak banyak soal, lalu bangun dan mengikut arahan kakaknya dengan cepat.

"Kita nak bersembunyi di mana, ayah?" Katalina menyoal sambil tangannya menggenggam erat tangan Marcus sambil mengheret budak lelaki itu mengekori ayahnya ke dalam hutan. Ayahnya tidak menjawab sebaliknya hanya berjalan laju ke dalam hutan dalam keadaan senyap.

"Macam mana dengan orang kampung?" Katalina menyoal lagi lalu berpusing sekilas memandang ke belakangnya.

"Mereka patut lari." Ayahnya menjawab dengan ringkas dengan suara yang dalam dan agak ketakutan. Katalina terdiam lalu melajukan langkah mengekori ayahnya. Marcus juga berlari laju cuba mengejar mereka walaupun tangannya sedikit sakit kerana digenggam kuat oleh kakaknya.

Ayahnya berhenti di hadapan sebatang pokok yang tinggi dan menghela nafasnya sejenak. "Rasanya tempat ni..."

"Tempat apa?" Katalina menyoal.

Ayahnya tidak menghiraukan pertanyaan Katalina sebaliknya dia menghampiri poko itu lalu mula menyelak dahan-dahan kayu yang berjurai dari pokok yang tinggi itu. "Tolong ayah!" Dia memberikan arahan, lalu Katalina melepaskan tangan adiknya lalu membantu ayahnya menyelak kayu-kayu berjuntai yang agak lembap itu. Nampaknya, pokok itu menyerap air hujan di tanah dan menyimpan air di dalam dahannya. Selepas beberapa ketika, dahan berjuntai itu terselak dan Katalina terlopong melihat sebuah lubang berbentuk gua di sebalik juntaian dahan kayu itu.

"Apa ni?" Katalina bertanya.

"Tempat persembunyian kita. Cepat masuk ke dalam, Marcus." Ayahnya menjawab.

Kedua-dua beradik itu ragu-ragu hendak masuk ke dalam kerana dikhuatiri ada penghuni lain di dalam gua itu. Tidak mustahil ada ular atau kala jengking di dalamnya.

"Masuklah! Jangan bimbang, tak ada apa-apa dalam gua ni. Dalamnya luas juga walaupun pintu gua ni kecil. Cepat masuk, sebelum orang lain nampak kita."

Katalina masuk diekori oleh adiknya dan akhir sekali ayahnya. Mereka berdiri dalam kegelapan sebelum ayahnya menyalakan pelita yang seperti tersedia di dalam lubang gua itu. Katalina memandang sekeliling dan terlopong. Gua itu kelihatan seperti terowong yang dindingnya diperbuat daripada bata yang kering walaupun mulut gua itu kelihatan lembap dengan air yang diserap oleh pokok besar tadi. Gua itu seperti dibina oleh seseorang dan di dalamnya ada tikar, pelita, batu untuk untuk menghidupkan api, selonggok ranting, bekas air dan mangkuk dan kain selimut.

"Tempat apa ni, ayah?" Katalina menyoal.

"Ini tempat persembunyian yang ayah buat kalau-kalau perkara hari ni berlaku. Ayah tak sangka kita akan gunakan tempat ini juga."

"Ayah tahu kita akan diserang?" Marcus pula menyoal.

"Berehatlah dulu. Kalau kita senyap, takkan ada sesiapa pun tahu kita ada di sini." Ucap ayahnya lalu mula membentang tikar dan melabuhkan punggung.

Katalina turut duduk dan memeluk lututnya rapat-rapat. Hatinya berdoa semoga puak Grey akan selamat walaupun terdetik sedikit rasa curiga terhadap ayahnya yang seperti dapat menjangkakan perkara ini akan berlaku.

No comments:

Post a Comment